Diari Kehidupan

Coretan Bicara, Bingkisan Pengalaman

Friday, June 25, 2010

Shopping awal untuk Raya Aidilfitri?

Mengikut kalendar tahun 2010, Hari Raya Aidilfitri akan menjelma pada bulan September 2010. Oleh itu, aku telah membuat beberapa persiapan hari raya untuk keluargaku. Adakah ianya terlalu awal? Ada teman pejabatku menegur.. "Dekat raya nanti, ada bazar kat Jalan TAR tu, banyak jualan yang akan buat ko rambang mata.. Konon dah beli sekarang, tp bila nampak yang lain, akan beli gak...". InsyaAllah akan kukuatkan semangat dan nafsuku dari membeli lagi. Kalau nak cari pun, baju yang lain la... Lagipun kesian tengok si kecilku memakai baju kurung.. Almaklumlah, baju kurung ni labuh. Auni pulak dengan aktif dan lasak, takut dia akan mudah terjatuh sekiranya asyik berlari ke sana ke mari.. Namun kupuas hati sesangat kerana lain yang dicari, lain pulak yang dapat. Asal tujuan keluar pada tengahari tadi, hanyalah untuk mencari kain cotton pasang untuk dibuat baju kurung. Tetapi, yang ketemu ialah baju kurung kain cotton yang hanya berharga RM25 sepasang.. Alangkah bertuahnya aku......   

Wednesday, June 23, 2010

Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Membawa Bencana

1Malaysia tahu peribahasa ini! Namun, ramaikah yang benar-benar memahami dan senantiasa menjaga tutur kata dan bahasa supaya tidak menyakitkan orang lain. Dewasa ini melalui pelbagai cabang medium, keterbatasan melahirkan pendapat dan pandangan telah membuka ruang yang besar kepada setiap manusia yang dahagakan kebebasan bersuara. Arus pemodenan yang melanda telah menghanyutkan manusia ke satu lembah yang menegakkan kebenaran sendiri tanpa menghiraukan peradaban sopan-santun yang wujud sejak azali lagi. Di manakah pegangan agama yang menunjangi diri selama ini? Di manakah nilai-nilai murni yang telah diasuh oleh kedua ibu bapa dan guru di sekolah? Adakah kerana kejayaan dan kedudukan kerjaya yang baik telah menghapus nilai-nilai tersebut? Benarlah bagai dikata, "Melayu mudah lupa", lupa pada tatasusila dan adab sopan setelah memperoleh kejayaan.. Kenapa perlu bersifat takbur dan bangga diri? Seharusnya semakin banyak ilmu dan kejayaan diperolehi, semakin bersikap tawaduk dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Umpama "resmi padi semakin berisi semakin menunduk ke bumi..." 

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.
Riwayat Muslim 
 
Hadis di atas jelas menyatakan bahawa kita tidak seharusnya melampaui batas terhadap orang lain sama ada melalui perbuatan, tindakan, kata-kata dan sebagainya. Dengan teknologi yang ada, manusia mudah terdedah dengan ketaksuban kononnya untuk meluahkan pandangan dan suara kebebasan. Friendster, Facebook, Twitter, Myspace, Yahoo Messager, Blog dan pelbagai adalah medium perantaraan yang telah membuka peluang kepada manusia untuk menyakitkan hati orang lain dan melampaui batas terhadap orang lain sekiranya adab sopan santun tidak dijaga dengan sempurna. 
 
Sebagai kesimpulannya, sebagai manusia yang dianugerahi akal fikiran, marilah kita bersama-sama menjaga adab tatasusila supaya kita mampu menjadi bangsa yang bermaruah tinggi.

Keluarga Bahagia

Impian semua wanita yang bergelar seorang isteri. Namun, mampukah kita mendapatkannya. Dalam arus moden yang mana kebanyakan wanita bekerja, dapatlah dirumuskan bahawa tanggungjawab di dalam menguruskan rumah tangga seharusnya dikongsi bersama.

Acapkali pesanan orang tua-tua menasihati bahawa apabila kita berkahwin dengan seorang lelaki atau perempuan, kita sebenarnya telah berkahwin sekali dengan seluruh keluarganya. Ada benarnya!! Berdasarkan sekelumit pengalaman yang ada, dapat dirumuskan bahawa fakta tersebut mampu mengubah persepsi anda yang telah dibina sebelum berkahwin! Sebelum berkahwin, kita menjangkakan bahawa kehidupan suami isteri adalah percantuman antara dua insan yang berbeza. Namun, setelah berkahwin, rupa-rupanya penggabungan antara segerombolan manusia yang sangat-sangat berbeza. Adunan ini sekiranya tidak diuli dengan sebaiknya mampu memporak-perandakan ikatan yang dibina. Adalah penting mencapai kesefahaman bersama agar dapat menjamin keutuhan yang ingin dikecapi bersama. Faktor penerimaan antara aspek utama yang perlu dititikberatkan. Terimalah pasangan anda sebaiknya... Kekurangan dan kelemahan pasangan yang ada harus ditutupi dengan kelebihan yang kita ada. "Setiap manusia yang berpasang-pasangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain". Sekiranya kekurangannya adalah tidak tahu mengemas, seharusnya sebagai pasangan, kita menjadi pandai mengemas, sama-sama membantu.. Tak lokek tenaga yang ada untuk membantu pasangan di dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri. Namun, kerana ego yang ada dan perasaan yang tinggi mengatakan akulah raja di dalam rumah tangga, maka makian dan herdikan yang menjadi santapan halwa telinga sang isteri sekiranya tidak sempurna di mata sang raja. Tidak cukup dengan itu, tenaga yang sepatutnya digunakan untuk membantu sang isteri, dipertaruhkan di badan yang lembut dan gebu itu. Di manakah akal fikiran tatkala dihinggapi Syaitan di dalam hati?

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 12).

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis Riwayat al-Bukhari no: 4890)