Diari Kehidupan

Coretan Bicara, Bingkisan Pengalaman

Wednesday, June 23, 2010

Keluarga Bahagia

Impian semua wanita yang bergelar seorang isteri. Namun, mampukah kita mendapatkannya. Dalam arus moden yang mana kebanyakan wanita bekerja, dapatlah dirumuskan bahawa tanggungjawab di dalam menguruskan rumah tangga seharusnya dikongsi bersama.

Acapkali pesanan orang tua-tua menasihati bahawa apabila kita berkahwin dengan seorang lelaki atau perempuan, kita sebenarnya telah berkahwin sekali dengan seluruh keluarganya. Ada benarnya!! Berdasarkan sekelumit pengalaman yang ada, dapat dirumuskan bahawa fakta tersebut mampu mengubah persepsi anda yang telah dibina sebelum berkahwin! Sebelum berkahwin, kita menjangkakan bahawa kehidupan suami isteri adalah percantuman antara dua insan yang berbeza. Namun, setelah berkahwin, rupa-rupanya penggabungan antara segerombolan manusia yang sangat-sangat berbeza. Adunan ini sekiranya tidak diuli dengan sebaiknya mampu memporak-perandakan ikatan yang dibina. Adalah penting mencapai kesefahaman bersama agar dapat menjamin keutuhan yang ingin dikecapi bersama. Faktor penerimaan antara aspek utama yang perlu dititikberatkan. Terimalah pasangan anda sebaiknya... Kekurangan dan kelemahan pasangan yang ada harus ditutupi dengan kelebihan yang kita ada. "Setiap manusia yang berpasang-pasangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain". Sekiranya kekurangannya adalah tidak tahu mengemas, seharusnya sebagai pasangan, kita menjadi pandai mengemas, sama-sama membantu.. Tak lokek tenaga yang ada untuk membantu pasangan di dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri. Namun, kerana ego yang ada dan perasaan yang tinggi mengatakan akulah raja di dalam rumah tangga, maka makian dan herdikan yang menjadi santapan halwa telinga sang isteri sekiranya tidak sempurna di mata sang raja. Tidak cukup dengan itu, tenaga yang sepatutnya digunakan untuk membantu sang isteri, dipertaruhkan di badan yang lembut dan gebu itu. Di manakah akal fikiran tatkala dihinggapi Syaitan di dalam hati?

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 12).

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis Riwayat al-Bukhari no: 4890) 




No comments:

Post a Comment