Diari Kehidupan

Coretan Bicara, Bingkisan Pengalaman

Wednesday, June 23, 2010

Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Membawa Bencana

1Malaysia tahu peribahasa ini! Namun, ramaikah yang benar-benar memahami dan senantiasa menjaga tutur kata dan bahasa supaya tidak menyakitkan orang lain. Dewasa ini melalui pelbagai cabang medium, keterbatasan melahirkan pendapat dan pandangan telah membuka ruang yang besar kepada setiap manusia yang dahagakan kebebasan bersuara. Arus pemodenan yang melanda telah menghanyutkan manusia ke satu lembah yang menegakkan kebenaran sendiri tanpa menghiraukan peradaban sopan-santun yang wujud sejak azali lagi. Di manakah pegangan agama yang menunjangi diri selama ini? Di manakah nilai-nilai murni yang telah diasuh oleh kedua ibu bapa dan guru di sekolah? Adakah kerana kejayaan dan kedudukan kerjaya yang baik telah menghapus nilai-nilai tersebut? Benarlah bagai dikata, "Melayu mudah lupa", lupa pada tatasusila dan adab sopan setelah memperoleh kejayaan.. Kenapa perlu bersifat takbur dan bangga diri? Seharusnya semakin banyak ilmu dan kejayaan diperolehi, semakin bersikap tawaduk dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Umpama "resmi padi semakin berisi semakin menunduk ke bumi..." 

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.
Riwayat Muslim 
 
Hadis di atas jelas menyatakan bahawa kita tidak seharusnya melampaui batas terhadap orang lain sama ada melalui perbuatan, tindakan, kata-kata dan sebagainya. Dengan teknologi yang ada, manusia mudah terdedah dengan ketaksuban kononnya untuk meluahkan pandangan dan suara kebebasan. Friendster, Facebook, Twitter, Myspace, Yahoo Messager, Blog dan pelbagai adalah medium perantaraan yang telah membuka peluang kepada manusia untuk menyakitkan hati orang lain dan melampaui batas terhadap orang lain sekiranya adab sopan santun tidak dijaga dengan sempurna. 
 
Sebagai kesimpulannya, sebagai manusia yang dianugerahi akal fikiran, marilah kita bersama-sama menjaga adab tatasusila supaya kita mampu menjadi bangsa yang bermaruah tinggi.

No comments:

Post a Comment